Pengenalan Bahasa Turki

Ciri bahasa Turki meliputi harmoni vokal, imbuhan dan kekurangan pengenalan jantina dalam tatabahasa yang didapati secara sejagat dalam semua bahasa dalam rumpun bahasa Turki. Penutur bahasa-bahasa Turki cawangan bahasa Oghuz boleh memahami satu sama lain. Mereka ini termasuklah penutur bahasa Turki di Republik Turki, Azerbaijan, Turkmen, Qashqai, Turki Gagauz Balkan dan Tatar Krimea yang dipengaruhi oleh kelompok penutur bahasa Oghuz. Walaupun kaedah pengelasannya pelbagai, namun bahasa rumpun Turki selalunya dianggap sebagai terbahagi kepada dua cawangan seperti berikut:

  • Bahasa Turki Oghur yang kelompok bahasanya yang terselamat adalah bahasa Chuvash; dan
  • Bahasa Turki Biasa termasuklah bahasa di bawah ranting cawangan bahasa Oghuz.
Bahasa dalam kelompok bahasa Turki Kipchak juga mempunyai tahap kesefahaman yang tinggi dalam kalangan mereka. Bahasa Kazakh dan bahasa Kyrgiz boleh dilihat sebagai loghat dalam satu bahasa namun dianggap sebagai bahasa yang berbeza disebabkan oleh faktor sosio-politik. Kedua-dua bahasa ini hanya berbeza dari segi fonetik sedangkan kosa kata dan tatabahasanya hampir sama sahaja walaupun kedua-duanya mempunyai bentuk penulisan piawai yang berbeza sedikit di sana serta di sini. Sehingga abad ke-20, kedua-dua bahasa ini menggunakan bentuk penulisan yang digunakan dalam bahasa Turki Chagatai.
 
Bahasa Turki menunjukkan persamaan dengan bahasa Mongolia, Tungusic, Korea dan Jepun. Persamaan ini menyebabkan sesetengah ahli linguistik mencadangkan satu rumpun keluarga bahasa Altai, walaupun cadangan ini ditolak oleh ahli linguistik sejarah dari Barat. Persamaan dengan bahasa Ural menyebabkan keluarga bahasa-bahasa ini dianggap sebagai satu untuk satu jangka masa yang lama di bawah hipotesis Ural-Altaic. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti yang mencukup untuk menyimpulkan kewujudan mana-mana bahasa dalam cawangan bahasa ini.