Bahasa Turki (Türkçe [ˈtyɾctʃe], Türk dili juga dikenali sebagai Türkiye Türkçesi atau bahasa Turki negara Turkiye) adalah merupakan bahasa rumpun Turki yang paling banyak sekali dituturkan di dunia. Ia berasal dari cawangan bahasa Turki Oghuz dengan kira-kira 90 juta orang penutur. Ia menjadi bahasa kebangsaan negara Turki dan menjadi salah satu daripada bahasa rasmi di negara Cyprus. Selain itu, bahasa Turki dituturkan juga oleh kelompok-kelompok kecil orang Turki di negara Eropah seperti di Jerman, Austria, Bulgaria, Macedonia Utara, Greece, beberapa bahagian negara Eropah, Kaukasus Selatan, dan beberapa bahagian Asia Tengah, Iraq, serta di Syria. Bahasa Turki menduduki tempat ke-18 sebagai bahasa paling ramai penuturnya di dunia.
Ke bahagian Barat, pengaruh bahasa Turki Osmaniah, iaitu sejenis bahasa Turki yang digunakan bagi urusan pentadbiran dan kesusasteraan dalam empayar Osmaniah tersebar apabila empayar tersebut berkembang. Pada tahun 1928, sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan Mustafa Kamal Atatürk pada awal pembentukan Republik Turki, huruf Parsi Arab yang digunakan untuk bahasa Turki Osmaniah mula digantikan dengan huruf Latin.
Beberapa ciri yang utama dalam bahasa Turki adalah keharmonian vokal dan imbuhan yang banyak dalam pembentukan ayat. Susunan ayat asas dalam bahasa Turki adalah dalam bentuk subjek - objek - kata kerja. Selain itu, bahasa Turki tidak mempunyai kelas kata nama atau jantina dari segi tatabahasa. Bahasa Turki menggunakan sistem penghormatan dan mempunyai perbezaan T-V yang kuat sekali bagi membezakan tahap kesopanan, jarak sosial, umur, adab, atau kesesuaian yang ditujukan kepada orang yang menjadi lawan percakapan. Kata ganti diri kedua jamak dan bentuk kata kerjanya digunakan bagi merujuk kepada seseorang untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang itu.