Ungkapan paling awal yang dibuktikan dalam bahasa Turki Purba direkodkan dalam pelbagai sumber Cina. Anna Dybo misalnya mengenal pasti dalam Shizi (330 SM) dan Book of Han (111 SM) beberapa puluh pinjaman Turki Purba dalam transkripsi bahasa Cina dinasti Han. Lanhei Wei dan Hui Li merekonstruksi nama keluarga Xiongnu sebagai PT *Alayundluğ atau suku kuda belang.
Teks paling awal yang diketahui dalam bahasa Turki ialah Inskripsi Orkhon bertarikh 720 hingga 735 M. Ia ditafsirkan pada tahun 1893 oleh ahli bahasa Denmark, Vilhelm Thomsen, dalam persaingan ilmiah dengan saingannya seorang ahli bahasa Jerman-Russia bernama Wilhelm Radloff. Namun, Radloff menjadi orang pertama yang menerbitkan batu bersurat ini dalam bentuk dokumen.
Bahasa Tungus pertama yang dibuktikan ialah bahasa Jurchen, iaitu bahasa nenek moyang suku kaum Manchu. Sistem tulisan untuk bahasa ini dicipta dalam tahun 1119 M dan sebuah inskripsi menggunakan sistem itu diketahui wujud sejak 1165 (lihat senarai inskripsi bahasa Jurchen).
Bahasa Mongol paling awal yang mempunyai bukti bertulisan dikenali sebagai bahasa Mongol Pertengahan. Ia mula dibuktikan melalui batu bersurat bertarikh 1224 atau 1225 M, iaitu Stele of Yisungge serta Sejarah Rahsia Orang Mongol yang ditulis pada tahun 1228. Teks Para-Mongolik paling awal ialah Memorial for Yelu Yanning ditulis dalam huruf besar Khitan dan bertarikh 986 M. Namun, Inskripsi Huis Tolgoi yang ditemui pada tahun 1975 dan dianalisis sebagai bentuk awal bahasa Mongol bertarikh antara 604 hingga 620 M. Inskripsi Bugut pula bertarikh 584 M.
Bahasa Jepun mula dikbuktikan dalam bentuk nama yang terdapat dalam beberapa inskripsi pendek dalam bahasa Cina Klasik dari abad ke-5 M seperti yang ditemui pada Pedang Inariyama. Teks utama pertama dalam bahasa Jepun ialah Kojiki bertarikh 712 M. Ia diikuti oleh Nihon Shiki (720 M) dan kemudiannya Man'yoshu (sekitar 771 - 785 M) yang turut mengandungi bahan bertarikh kira-kira 400 tahun lebih awal.
Selain itu, teks paling penting untuk kajian bahasa Korea awal ialah Hyangga iaitu koleksi 25 puisi, sebagahagiannya berasal dari Zaman Tiga Kerajaan (57 SM - 668 M) tetapi hanya dipelihara dalam sistem ortografi yang bermula pada abad ke-9 M. Bahasa Korea dibuktikan secara meluas sejak pertengahan abad ke-15 melalui sistem tulisan Hangul yang fonetiknya sangat tepat.