Rekod terawal dalam bahasa Turki Tua ialah Tugu Orkhon yang ditemui di Mongolia moden. Ia didirikan sebagai penghormatan kepada Putera Kul Tigin dan kekanda baginda, Maharaja Bilge Khagan. Ia boleh dikesan wujud sejak zaman Khagan Turki Kedua (bertarikh 682 - 744 M). Selepas penemuan dan ekskavasi tugu dan pahatan batu yang berkaitan oleh ahli arkeologi Rusia di sekeliling Lembah Orkhon yang luas itu antara tahun 1889 dan 1893 menunjukkan bahawa bahasa yang digunakan ialah bahasa Turki Tua yang ditulis menggunakan abjad Turki Tua yang juga dirujuk sebagai tulisan Runic Turki disebabkan oleh rupanya yang hampir serupa dengan tulisan Runic Jerman.
Dengan peluasan bangsa Turki keluar semasa abad pertengahan awal (abad ke-6 hingga ke-11 masihi), penduduk yang berbahasa Turki juga merebak di seluruh Asia Tengah merangkumi kawasan geografi yang luas terentang dari Siberia hingga ke Eropah dan Mediteranea. Puak Seljuq dari suku kaum Oghuz dalam bangsa Turki khususnya membawa bersama bahasa mereka iaitu bahasa Oghuz ke Anatolia pada abad ke-11 masihi. Bahasa Turki Oghuz ini menjadi nenek moyang terus bahasa Turki Moden yang dituturkan di Republik Turki. Pada abad ke-11 masihi juga, Mahmud al-Kashgari, seorang ahli linguistik bahasa Turki dari Kerajaan Kara-khanid menerbutkan kamus bahasa Turki komprehensif yang pertama lengkap dengan peta taburan penutur bahasa Turki. Kamus ini dikenali sebagai ديوان لغات الترك Diwan Lughat al-Turk dalam bahasa Arab.