Memaparkan catatan dengan label asia tengah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label asia tengah. Papar semua catatan

Selasa, 13 September 2022

Perbendaharaan Bahasa Turki

 

Aku telah menonton beberapa video dari ahli bahasa di Youtube. Terdapat beberapa video yang menarik di mana mereka berkongsi perbendaharaan kata yang sama antara bahasa mereka dengan bahasa dari rantau yang berjiran dengan mereka. Bahasa Turki menarik minat aku disebabkan oleh sejarah bangsanya dan juga keluasan sebaran pertuturan bahasanya dari Timur sampailah ke Barat. Oleh itu, aku cuba mencatitkan perbendaharaan kata tersebut bagi membantu aku mempelajarinya dengan cepat.

Bahasa yang aku pilih di sini adalah bahasa Parsi, bahasa Arab dan bahasa Urdu kerana aku mahu menguasai bahasa-bahasa ini juga selain daripada bahasa dari rumpun bahasa Turki. Selain itu, tamadun mereka turut berkait rapat dengan rantau tempat aku tinggal kini.
 
Bagi perbendaharaan kata yang aku kutip itu, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli bahasa seperti Bahador Alast dan isteri beliau. Nanti aku akan catitkan nama mereka yang membantu orang ramai dalam video pendidikan mereka. Gambar hiasan di atas dipetik dari rencana Central Asia: Motherland of Turkic Peoples hasil tulisan Said Abdul Razzaq bertarikh 23 Januari 2017 di halaman Asharq al-Awsat. Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyumbang ke arah pendidikan di alam maya.  

Rabu, 3 September 2014

Rumpun Bahasa Turki

 
Bahasa rumpun Turki adalah sekelompok 35 bahasa yang didokumentasikan dan dituturkan oleh bangsa Turki di plat Eurasia dari Eropah Timur, Kaukasus, Asia Tengah dan Asia Barat menuju ke Asia Utara khususnya di Siberia serta Asia Timur. Rumpun bahasa ini didakwa berasal dari Asia Timur bermula di Barat China sehingga ke Mongolia. Ia didakwa telah dibawa oleh orang Proto-Turki ke Asia Tengah dan melebar ke barat pada milenium awal.
Bahasa-bahasa Turki ini dituturkan sebagai bahasa ibunda oleh 170 juta orang manusia. Jumlah keseluruhan penutur bahasa jenis ini termasuklah mereka yang menuturkannya sebagai bahasa kedua adalah seramai 200 juta orang manusia. Bahasa Turki yang terbesar sekali jumlah penuturnya adalah bahasa Turki Seljuq yang dituturkan di Anatolia dan negara-negara Balkan di Eropah Timur. Penutur yang menggunakannya sebagai bahasa ibunda adalah kira-kira 40 peratus daripada jumlah semua penutur bahasa Turki.